Wednesday, 12 January 2022

Azam Baru 2022 untuk menjadi Lebih Baik dari Tahun Sebelumnya

Azam Baru 2022 | Lydia Aramina


Selamat Tahun Baru 2022. Di ambang tahun baru ini seringkali tanya diri sendiri apa azam kita setiap tahun? Mungkin ada kelainan dari tahun sebelumnya atau ada azam tahun lepas yang tak tercapai ingin dilaksanakan tahun ini? Tepuk dada tanya selera. 

Untuk entri saya kali ini, saya ingin kongsikan sedikit sebanyak azam yang ingin saya laksanakan tahun ini agar tahun baru ini saya akan menjadi orang yang baru. New year, new me kata orang mat salleh.

1. Minum air kosong secukupnya setiap hari

Perkara ini nampak macam biasa dibuatkan tetapi selalu tak tercapai target minum air kosong secukupnya setiap hari. Sering terlupa dan kadang-kadang dalam satu hari itu cuma minum minuman air manis sahaja. Satu perkara yang saya perasan kalau saya cukup minum air kosong secara berterusan, saya perasan yang saya kurang fikirkan makanan (hahaha). Pernah baca satu artikel mengenai minum air kosong secukupnya untuk tubuh badan kita dapat mengawal berat badan. Ada banyak lagi kebaikan lain tentang air kosong ini yang akan saya kongsikan di entri lain nanti.

Anggaran pengambilan air kosong setiap hari

2. Makan sayur-sayuran lebih

Saya jenis yang tak kisah makan sayur apa pun sebab memang gemar makan sayur-sayuran. Pernah tengok tips diet makan suku-suku setengah tak? Suku pertama adalah bijirin, suku kedua adalah protein dan yang setengah itu adalah sayur-sayuran. Tahun ini bolehlah amalkan tips ini kerana sayur-sayuran sangat baik untuk sistem pencernaan kita. Satu lagi sayur-sayuran juga membuat kulit kita sihat dan berseri.

Sayur-sayuran yang berkhasiat

3. Bangun awal pagi untuk bersenam

Tentu ramai yang tidak suka buat yang ini termasuklah diri ini. Bila kita bersenam awal pagi, kita mampu membakar kalori lebih banyak sepanjang hari. Tekanan darah, kadar degupan jantung dan darah mengalir ke otot juga lebih baik. Jadi jom sama-sama kita bangun awal pagi untuk bersenam. Mulakan dengan berjalan pagi atau regangan ringan untuk yang baru nak buat.

4. Amalkan lebih menjaga diri

how to Self care

Kita sentiasa terlupa untuk menjaga diri sendiri seperti mengamalkan gaya hidup sihat dengan makan makanan yang sihat, dapatkan tidur yang cukup, kerap bersenam, dan elakkan dadah, merokok dan alkohol, amalkan kebersihan yang baik, mencuba sesuatu yang disukai setiap hari dan lain-lain. Sayangilah diri sendiri.

5. Membaca sesuatu yang bermanfaat selama 30 minit sehari

Membaca amalan mulia

Membaca memerlukan niat yang besar untuk seseorang. Dengan amalan membaca sesuatu yang bermanfaat selama 30 minit sehari akan membuka minda kita secara luas. Membaca juga melatih otak kita agar tidak mudah lupa dan membantu otak untuk berkembang lebih baik. 

6. Bina keyakinan diri

Bina keyakinan diri

Seseorang akan menghormati dirinya apabila mereka mengatakan bahawa mereka akan melakukan sesuatu dan mereka melakukannya. Praktikkan dalam diri kita juga, kita akan menghormati diri kita jika kita mengatakan "Saya akan melakukan sesuatu dan saya melakukannya", dan kepercayaan pada diri kita akan menjadi lebih mudah, kerana kita tahu kita tidak takut dengan kerja atau perkara itu. Tindakan memberi makna kepada perkataan kita sendiri, dan ia akan membantu membuka jalan untuk mencapai matlamat kita, mengukuhkan hubungan kita sesama orang lain dan berasa bangga dengan siapa diri kita.


Ini sedikit sebanyak yang boleh saya kongsikan kepada semua apa azam baru saya. Azam baru tidak semestinya perkara yang besar, perkara kecil contoh seperti tak membuang sampah merata-rata tempat atau pakai sunscreen setiap pagi pun satu azam juga.

Masih belum ada azam tahun 2022? Anda belum terlambat lagi untuk fikirkan azam anda sebab tiada ketetapan masa untuk azam baru ini walaupun ia lebih baik jika dilaksanakan awal tahun kerana kita ingin menjadi seorang yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Buat refleksi diri dan apa yang ingin anda perbaiki. Moga dapat membantu anda membuat azam baru 2022 yang penuh bermakna untuk diri anda. 

0 comments:

Post a Comment